TENGGELAM DALAM KEREDAAN

TENGGELAM DALAM KEREDHAAN

TUNAS CIPTA –SISIPAN DEWAN SASTERA
Oleh : Nabiha M. Mashut


Albert Gui terbaring disisi mimbar Masjid Darul Makmur. Masuk hari ini, sudah seminggu Albert berpuasa. Selepas menunaikan Solat Asar, Albert terbaring semula ditempat asalnya tadi. Badannya semakin lemah, selama seminggu ini Albert hanya berbuka puasa dengan meminum air paip sahaja, di masjid yang kini menjadi tempat tinggalnya.


“ Apa yang kamu buat tu?”


Ujar Pak Lebai Khualid tatkala melihat Albert yang sedang menadah air paip dengan menggunakan gelas plastik sesudah Azan Maghrib berkumandang.


“Oh, Lebai Lid. Saya hanya mahu membatalkan puasa sunat saya saja”


“Perlukah dengan meminum air paip?”


“Tidak mengapa lebai, saya sudah biasa. Mari kita solat bersama-sama”


Albert tersenyum puas apabila berjaya menyempurnakan puasa sunatnya pada hari itu dan dia berazam untuk berpuasa pada sekian harinya.


Sedang Albert melipat sejadah selepas para makmum usai menunaikan Solat Isya’, Lebai Lid merapati Albert lalu menghulurkan tangannya kepada Albert. Jabatan mesra itu disulami dengan sejumlah wang untuk Albert membeli sedikit makanan untuk berbuka puasa. Pada mulanya, Lebai Lid mempelawa Albert ke rumahnya. Namun, Albert enggan menerima pelawaan Lebai Lid itu dengan alasan dia segan dan berasa malu kerana Lebai Lid mempunyai dua orang anak perempuan yang masih dara. Lebai Lid akhirnya akur serta menghormati keputusan Albert itu.

Berbekalkan sedikit wang yang diberikan oleh Lebai Lid. Albert pergi ke Warung Kak Basrah untuk mencecap sedikit hidangan setelah seminggu perutnya tidak diisi dengan sebarang jenis makanan.


“Kak, berikan saya sebungkus mi rebus”

“Sebentar ya….” Ujar Kak Basrah lantas memandang wajah Albert.

“Kau, mukmin derhaka, seorang koruptor. Jangan kau jejakkan kaki kau di warung aku. Pergi kau dari sini”

“Tapi, saya hanya ingin membeli sedikit makanan. Saya ada duit” kata Albert sambil mengeluarkan duit dari poket seluarnya.Kak Basrah mengambil duit Albert itu.

“Aku berniaga berdasarkan sumber dan punca yang halal. Aku tidak akan membenarkan wang hasil korupsi yang haram menjejaskan perniagaan aku.” Tegas Kak Basrah lalu melemparkan wang tersebut ke muka Albert. Pemuda-pemuda yang berada di warung tersebut dengan pantas bertindak memukul Albert yang tidak berdaya itu.


Albert redha dengan fitratullah. Dia yang kini berada dilingkaran kelemahan dan ketidakupayaan pulang ke rumah Allah merangkak-rangkak. Entah berapa kali dia cuba untuk berdiri, namun tidak berjaya. Setiap kali itulah lutut dan tangannya terluka kerana terjatuh ditambah pula dengan kesan-kesan lebam dan memar yang perit akibat dipukul tadi.


Terjelepuk Albert di pintu masjid yang suci itu. Dia cuba dengan sedaya upaya mengumpulkan kudratnya yang masih tersisa untuk berdiri dan melangkah masuk ke dalam masjid. Namun, kakinya tersandung oleh birai pintu lantas, membuatkan tenaganya terluruh dan hanya meninggalkan rangkanya yang kering daya, Albert sudah tidak mampu lagi untuk berdiri kembali. Albert mendongakkan mukanya ke arah mimbar, seluruh tubuhnya terketar-ketar dan sakit. Dia mengesot sedikit demi sedikit ke arah mimbar itu lalu sujud memohon keampunan dan rahmat daripada-Nya.

“Baiklah, saya bersetuju untuk menjualkan tanah dihujung kampung itu dengan harga RM 1 juta”

“Ok, saya setuju. RM 1 juta adalah suatu nilai yang kecil bagi saya jika hendak dibandingkan dengan nilai keuntungan yang bakal saya peroleh hasil pembinaan kasino di tanah itu” ujar lelaki berbangsa cina itu dengan angkuh lalu menghulurkan sebuah beg James Bond yang berisi sejumlah wang tersebut

“Baiklah, saya harap perniagaan tuan akan terus maju”


Perbincangan antara Albert dan Tuan Wong, pengusaha kelab perjudian terbesar di Asia Tenggara telah memeteraikan perjanjian penjualan tanah wakaf masjid dan rumah kebajikan yang diwasiatkan oleh bapanya sendiri, Haji Jabar. Albert bukan sahaja menjualkantanah wakaf, malahan dia juga memakan hasil sumbangan orang ramai kepada anak-anak yatim dan orang kurang upaya di rumah kebajikan Sinar Harapan yang merupakan rumah perlindungan anak-anak yatim dan orang kurang upaya yang diusaha dan dibina oleh ayahnya

sebelum meninggal dunia.

“Wah, lepas ini bolehlah kita melancong ke Paris, New york, Australia dan ke mana-mana saja”

“Sudah tentu boleh. Demi isteri yang aku sayangi, aku akan bawa ke mana saja yang

engkau mahukan, walau hingga ke syurga.”

“Berikan aku sedikit wang itu. Esok, aku hendak pergi membeli belah bersama rakan-rakan aku”

“Berapa yang kau mahukan?”

“Sepuluh ribu?”

“Nah, ambil ini!.”

Isteri Albert, Sunny Bertha adalah wanita yang tidak beragama. Sejak berkahwin dengan Bertha, Albert telah melupakan agama Islam dan menukar namanya daripada Ikhwan Khawari bin Abdul Jabar kepada Albert Gui. Albert adalah anak tunggal dalam keluarga Haji Jabar. Albert juga tidak mempunyai sanak-saudara dan adik-beradik yang lain. Ibu dan bapanya sudah meninggal dunia akibat sakit tua. Kini, kekayaan yang dimiliki keluarganya telah diwarisi sepenuhnya oleh Albert sehingga dia alpa dan tenggelam dalam kemewahan yang membaham dirinya sendiri. Hartanya kini, umpama singa yang sedang kelaparan dan menanti saat yang tepat untuk mula mengganas.


“Sayang, makanlah. Nanti kamu lapar” ujar Albert lembut Vannessa menggelengkan kepala,


“Tak nak, tak nak…”


“Mari sini, mama suapkan Nessa ya..” Bertha membujuk manja Vannessa yang sudah lima hari tidak mahu makan sejak dia sembuh daripada demam panasnya. Albert kasihan melihat anak comelnya yang kelihatan susut kerana hilang selera makan. Lantas, Albert membawa Vannessa dan isterinya ke sebuah restoran mewah dengan harapan anaknya mahu menikmati pelbagai jenis makanan yang enak dan lazat di situ. Kasih sayang Albert kepada Vannessa amat mendalam sehingga tidak tergambar dengan sebarang kata-kata mahupun lukisan.


Pujukan Albert dan Bertha tidak mejadi, Bertha berang apabila Vannessa bertindak agresif menepis suapnya serta menolak pinggan berisi makanan sehingga jatuh berderai. Bertha sudah tidak sabar melayan kerenah Vannessa yang keterlaluan, lalu mencubit lengan anak kecil yang baru berusia 4 tahun itu. Vannessa menangis semahu-mahunya lantaran tindakan Bertha itu, lalu Albert mendukung Vannessa keluar dan memujuknya dengan pelbagai cara. Akhirnya, tangisan Vannessa mereda, dan dia mula bersuara.

“Papa, kenapa mama paksa Nessa makan api?”

“Api?tadi mama Nessa suapkan Nessa ayam goreng kegemaran Nessa tau. Mana ada api”

“Tak, papa tipu. Nessa nampak mama dengan papa makan api hari-hari. Sebab tu lah Nessa tak nak makan. Papa dengan mama tak rasa panas ke makan api?Nessa takut sangat”

“Hah?” Albert terpinga-pinga mendengar kata-kata Vannessa itu.

“Papa jangan makan api lagi ya?”pujuk anak kecil itu dengan suara manjanya.

Albert terfikir sejenak, anak sekecil Vannessa tidak mungkin akan menipu dengan apa yang dilihatnya dan apa saja yang didengarinya. Tiba-tiba, Vannessa pengsan, dengan panik Albert segera berkejar ke hospital. Setibanya di hospital badan si kecil itu tidak lagi dapat bertahan. Vannessa telah pergi untuk selama-lamanya. Albert sedar akan perubahan Vannessa itu, Albert mengerti bahawa Vannessa seolah-olah dapat merasakan bahawa bapa kesayangannya itu sedang melakukan perbuatan yang terkutuk. Albert terus-menerus menghukum dirinya sendiri atas kematian Vannessa.


Setiap hari Albert akan mengunci dirinya di dalam bilik sambil menangis mengenangkan pemergian anak kesayangannya itu. Bertha yang materialistik sudah bosan dan muak dengan sikap Albert yang semakin yang tidak bertanggungjawab dan menyebalkan. Lantas dalam diam, Bertha sungguh tega bermain kayu tiga di belakang Albert dengan seorang hartawan yang kaya-raya. Akhirnya, Albert ditinggalkan sendirian terkapar-kapar di lautan kebingungan ciptaannya sendiri. Hidup albert hilang arah.


“Assalamualaikum”


Ucap Albert apabila pertama kalinya dia menjejakkan kakinya ke rumah Allah itu selepas sekian lamanya dia tidak pernah lagi mengujungi tempat suci itu. Perasaan malu dan hina yang maha berat sedang menghempap dirinya yang kini sebatang kara. Para jemaah yang telah usai mendirikan solah zuhur pada ketika itu agak terkejut dengan kehadiran Albert. Demi menghalang Albert daripada menjejakkan kakinya ke dalam masjid, mereka menolak Albert sehingga jatuh menyembah bumi. Mujur Lebai Lid keluar ke perkarangan masjid tepat pada waktunya tatkala dia menyedari bahawa kekecohan sedang berlaku disitu.


“Astagfirullahalazim”, lalu Lebai Lid memapah Albert bangun dan memberikan ruang kepada Albert untuk bersuara dan menjelaskan segala-galanya.


“Terima kasih lebai. Terima kasih semua. Saya kini sudah insaf dan bertaubat. Saya mahu kembali ke pangkal jalan dan mengabdikan diri saya sepenuhnya kepada yang esa. Saya sedar bahawa tindakan saya menjualkan tanah wakaf untuk mendirikan sebuah pusat maksiat, memakan harta anak-anak yatim dan mengambil korup telah membangkitkan kemarahan penduduk kampung terhadap diri dan keluarga saya. Kini, saya telah mengembalikan harta-harta itu kepada yang berhak. Atas dosa-dosa saya ini, saya amat berharap agar kalian semua mahu memaafkan saya. Saya menyesal”

“Sudahkah para khalifah Allah SWT mendengar pengakuan insan ini? adakah kita akan menanggung kerugian sekiranya kita memaafkan kesilapan yang telah beliau lakukan? rugikah? Dia juga adalah saudara kita” tegas Lebai Lid kepada para jemaah yang tadinya mengherdik dan mencaci Albert.

Albert telah kembali memeluk agama Islam dengan bantuan Lebai Lid. Selepas melafazkan kalimah syahadah, hati Albert kembali tenang seperti sediakala. Keimanan dan ketakwaannya bertambah. Kualiti ibadahnya semakin dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Setiap satu pertiga malam Albert tidak akan pernah ketinggalan untuk mendirikan solat taubat nasuha, tahajjud, dan hajat, manakala pada siang harinya, Albert akan melaksanakan berpuasa sunat. Albert juga tidak pernah putus-putus memanjatkan doa kudusnya kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan agar dosanya diampunkan dan memohon dengan istiqamah agar dia meninggal dunia dalam keadaan khusnul khotimah.


Namun, masih ada penduduk kampung yang membenci Albert. Suatu hari, kaki-kaki manusia yang kotor dan berlumpur telah memasuki masjid dan mengotori setiap ruang di dalam masjid. Albert terkejut dengan perbuatan para pemuda itu. ‘ Mereka ini tidak tahu akan hukum mengotori rumah Allah SWT yang suci dan maha bersih ini?’ Albert hanya mampu melihat dan berkata-kata dalam hatinya. Akan tetapi, semakin lama Albert melihat perilaku sekumpulan pemuda itu. Mereka semakin rancak membuat kekotoran, mereka seolah-olah mahu mencabar kesabaran Albert. Akhirnya, Albert bersuara dan menegur mereka dengan hikmah.


“Wahai saudara-saudaraku, adakah kamu tidak tahu akan hukum mengotori rumah Allah ini? Sebaiknya kamu semua hentikan perilaku yang tidak disukai oleh Allah, agar tidak mendatangkan kemurkaan daripada-Nya”

“Wah! Albert Gui ini jadi baik la…”kata salah seorang pemuda itu. Kemudian pemuda yang berkopiah putih itu mencelah.

“Sudah, jangan kau hendah berlagak baik pula. Sudahlah, tinggal gratis tanpa sebarang bayaran di sini. Hendak bergoyangan kaki pula. Jangan kau harap!, Nah! Ini adalah sebahagian daripada tugas kau untuk hari ini”


Terkial-kial Albert membersihkan setiap bahagian masjid yang dikotorkan oleh pemuda-pemuda itu. Sedang Albert menahan lapar dan dahaga, iman dan takwanya semakin utuh dan teguh dicabari dengan dugaan dan ujian yang menerpa dirinya yang kerdil itu.

Keesokkan harinya, jenazah Albert ditemui oleh Lebai Lid sedang sujud di hadapan mimbar. Wajahnya berseri-seri dan bibirnya tersenyum manis. Bau haruman kasturi semerbak memenuhi segenap ruang di masjid itu. Pada mulanya, semua orang menyangka bahawa haruman itu berpunca daripada bau sabun ketika memandikan jenazah. Namun, apabila salah seorang daripada mereka yang memandikan jenazah itu mencium badan jenazah Albert.Barulah mereka sedar bahawa haruman kasturi yang istimewa itu di keluarkan oleh badan jenazah Albert sendiri.

Sewaktu proses menguruskan jenazah Albert dijalankan, seorang demi seorang wali Allah, para ulama, tabiin dari serata pelusok dunia telah datang dan bersama-sama menguruskan jenazah Albert sehingga penduduk kampung langsung tidak berpeluang menguruskan jenazah Albert. Lebai Lid berasa hairan dengan fenomena pelik yang sedang berlaku itu . Namun, Lebai Lid hanya mampu memuji kemuliaan dan kebesaran Allah SWT yang mengangkat darjat seorang koruptor ke tempat setinggi seperti ini. Tidak semua manusia bertuah yang akan memperoleh kelebihan seperti ini, bahkan dirinya sendiri belum tentu mendapatkannya.


Ketika bacaan talkin dan doa yang dibacakan oleh seorang wali daripada Madinah yang hadir pada ketika itu. Lebai Lid seakan-akan mendengar suara beribu-ribu orang sedang mengaminkan bacaan itu sedangkan jumlah orang yang hadir ke tanah perkuburan itu tidaklah sehingga mencapai seratus orang. Pada mulanya Lebai Lid menganggap semua itu adalah khalayannya sahaja. Namun, setelah diamat-amati dengan mendalam dan ramai orang telah bersuara dan menegur kejadian pelik itu kepada Lebai Lid. Barulah Lebai Lid sedar, bahawa
itu adalah sebahagian lagi kelebihan Albert yang dicurahkan Allah SWT dan bukanlah suatu khayalan. Tetapi, itulah kebesaran Allah SWT, tuhan yang berkuasa atas seluruh alam semesta.

©Hakcipta Terpelihara

Like us on Facebook


Si gadis yang telah melangsungkan perkahwinannya di tanah tumpah darahnya JOHOR Darul Ta'zim