Follow Us @soratemplates

Friday, 19 December 2008

SEKILAS KASIHMU

SEKILAS KASIH

Oleh Nabiha Mohd Mashut

Tunas Cipta Disember 2008

Sarat aku memikul beban yang maha berat ini. Dalam keadaan aku yang berbadan dua tidak mungkin aku mampu melawan perasaan sakit yang hanya bisa terpendam di hati. Ingin sekali aku luahkan biar semua orang tahu, mengerti dan rasai. Namun, tidak semua yang akan menoleh kepadaku untuk berkongsi masalah ini bersama-sama aku yang benar-benar mengharapkan simpati. Aku tekad meneruskan hidup ini walau berjuta halangan dan cabaran yang menerjang di hadapan aku.

"Awak ini dah kenapa Lis?"

Aku hanya mendiamkan diri. Malam itu benar-benar menggugat kesabaranku. Aku sudah tidak terdaya untuk terus-terusan bertikam lidah dengan Hairi, suamiku. Perilakunya yang acap kali menjengkelkan hatiku sudah tidak lagi dapat digambarkan dengan kata-kata. Sungguh tegarnya hatiku melawan takdir ini selama 8 tahun lamanya.

"Lis, awak dah pekak ke? Kenapa kalau saya cakap awak tak pernah nak ambil perhatian? Dah, pergi buatkan saya mi goreng dengan air teh"

Tampaknya Hairi mulai berang apabila aku tidak memperdulikan kata-katanya. Arahannya kepadaku aku tolak ke tepi. Bukan maksudku untuk menderhaka kepada suami yang sepatutnya dilayani umpama raja. Namun, aku tidak terdaya untuk bangun ke dapur apatah lagi untuk memasak makanan permintaannya itu. Tambahan lagi, lauk-pauk yang ku masak tengah hari tadi masih ada lagi dan telah pun di panaskan oleh aku selepas solat Maghrib tadi. Dalam situasi ini, kami anak beranak sepatutnya berjimat cermat bukan berboros seperti ini.

Hairi menjegilkan biji matanya kepada aku. Aku hanya tertunduk bisu tanpa sebarang kata yang terhambur keluar daripada mulutku. Hairi seolah-olah membutakan matanya sendiri, bukan dia tidak lihat keadaanku yang begitu lemah dan lesu. Aku duduk tersandar di dinding sambil melunjurkan kakiku. Bau minyak kayu putih memenuhi segenap ruang di ruang tamu rumah. Kusapu minyak itu ke kaki ku yang lenguh daripada pagi tadi. Sehari dua ini, badanku sering sakit-sakit. Kadang-kala aku mengeluh keseorangan, aku tahu tiada siapa yang dapat meringankan bebanku kini selain diriku sendiri.
Melihat keadaanku itu, mungkin perasaan belas terkesan di hati Hairi.

"Kesian awak. Baiklah, malam ini saya makan di luar. Saya tak mahu susah-susahkan awak" ujar Hairi dengan nada berlembut.
Namun, aku tahu sandiwara Hairi yang cuma sementara itu. Aku tidak akan pernah tertipu dengan lakonan tipu dayanya yang sering diperankan olehnya selama ini. Tidak sama sekali aku terpedaya.

"Tapi, kalau saya nak makan kat luar mesti ada duit. Awak ada duitkan, berikan saya sepuluh ringgit"


Sudah aku katakan, tingkahnya yang abnormal sebentar tadi sudah tentu-tentu melindungi maksud sebenar nawaitunya itu. Hatiku kini sudah berlubang dipanah kata- kata berduri Hairi, walaupun ia tampak baik dan lembut tetapi amat berbahaya. Hatiku amat sakit menahan tusukan itu.

"Saya tak ada duit" ujarku buat pertama kali selepas tidak bertegur dengan Hairi selama 3 hari. Tanpa menoleh ke wajah Hairi, aku terus mengurut-ngurut kakiku.Kata-kataku itu ternyata menimbulkan kemarahan di hati Hairi.

"Apa awak cakap? Tak ada duit? Habis tu duit belanja yang saya kasi minggu lepas awak buat apa aja. Hah? Awak ni betul betul menggugat kesabaran saya. Ini dah melampau.
Hatiku sudah tidak mahu berkompromi. Gunung kesabaranku hampir meledakkan letusan dan menghamburkan lahar merah yang maha panas. Lantas, aku bangun lalu mencekak pinggang.

"Siapa yang dah melampau? Awak ataupun saya? Awak ingat duit lima puluh ringgit yang awak bagi tu cukup untuk menampung belanja makan saya 3 beranak. Nak kasi awak makan pun tak cukup tau tak?"

Ya Allah! Sesungguhnya kau maha mengetahui. Istigfar ku dalam hati.

"Heh! Itu pun untung saya nak beri, tahu!? Kalau ikutkan hati saya, biar awak 3 beranak mati kelaparan. Lagipun, buat apa saya nak kasi awak duit banyak-banyak. Entah-entah anak dalam kandungan awak tu pun anak saya"

"Hah, baguslah kalau awak pikir macam tu. Lagipun awak memang tak pernah tahu hukum tak beri nafkah pada keluarga dan hukum menafikan anak dalam kandungan. Awak memang cetek agama. Jadi, tak guna kalau saya cakap banyak dengan awak. Memang dari dulu pun kalau saya hanya mengharapkan gaji awak seorang untuk hidup kat dunia ni. Memang saya dan anak-anak dah lama mati. Nasib baik Pian nak hantar anak-anak dia ke sini untuk saya jaga. Dengan keadaan saya yang dah sarat dan tak larat nak bekerja ni, awak buat tak tahu saja. Makin awak pulak nak saya tanggung makan minum awak? Awak ingat awak tu siapa?"

"Lis, saya ini suami awak tau tak! Sekarang, kasi saya duit. Mustahil kalau awak cakap dengan saya awak tak ada duit. Apa Pian tu tak bayar gaji awak ke?"

"Hairi! Kalau jadi suami pada kata nama saja tapi tak tahu tanggungjawab seorang suami, baik tak payah. Kalau saya cakap saya tak ada duit, saya tak ada duit lah. Takkan itu pun saya nak kena ulang berpuluh kali. Lagipun, duit gaji tu saya kumpul untuk masa nak bersalin nanti. Kalau nak harapkan awak, awak langsung tak pernah ambil peduli. Dah, awak tak payah cakap banyak. Itu duit saya, awak tak berhak makan duit saya. Saya haramkan awak ambil duit saya walau sesen sekalipun. Ingat tu!"

Aku benar-benar marah kepada Hairi. Kesakitan yang ku alami tadi seolah-olah hilang begitu saja sewaktu aku bertelagah dengan Hairi. Sungguh tega dia menafikan bayi yang berada di dalam kandunganku ini bukan anaknya. Suara kami suami isteri bertengkar amat nyaring sekali pada ketika itu. Mungkin jiran-jiran sudah tidak terkejut lagi dengan fenomena sedemikian rupa kerana ianya sudah terlalu kerap berulang buat suatu tempoh yang cukup lama. Merah padam mukaku menahan getaran nafas berombak kencang yang dipetik kemarahanku terhadap Hairi.
Dengan tidak semena-mena, Hairi segera meluru ke pintu keluar selepas menolakku. Aku hilang keseimbangan dan jatuh terduduk. Hairi dengan pantas menghidupkan enjin motornya dan pergi entah ke mana. Aku menahan kesakitan. Terasa perutku seperti dicucuk-cucuk dengan jarum. Malam sudah larut, ku lihat jam di dinding menunjukkan jam 12.30 malam. Kepada siapa aku harus meminta bantuan? Aku terbaring lemah kerana terlalu banyak darah yang keluar.

'Ya Allah, hanya kepadamu aku memohon. Selamatkanlah bayi di dalam kandunganku ini'

Hanya itulah doa yang ku panjatkan ke hadrat ilahi sehingga aku tersedar pada keesokkan harinya. Aku tidak pasti sama ada aku tertidur ataupun pengsan, yang pastinya aku tetap berada di tempat yang sama seperti malam itu. Ternyata, semalaman aku berada disitu tanpa bantuan sesiapa. Allahuakbar!

Kesakitanku agak mendingan, perlahan-lahan aku bangun dan membersihkan diri. Lantai yang kotor dengan darahku di bersihkan oleh anak-anaku yang kasihan dengan nasib mamanya. Aku terharu, mereka masih terlalu kecil untuk mengerti dan memahami semua ini. Apakan daya, takdir sudah menentukan bahawa mereka terpaksa berhadapan dengan situasi seperti ini walau apa cara sekalipun.

"Along Aiman, along tolong mama jaga adik Aidil kat rumah ya. Mama nak ke hospital. Mama sakit perut"

"Mama sakit perut? Kesian mama sakit perut sampai berdarah. Takut along tengok, darah mama banyak sangat. Mama pergi jangan lama-lama tau. Along takut tinggal kat rumah"

"Ya, mama pergi tak lama. Sekejap je. Along jaga adik tau. Kalau along dengan adik lapar, makan roti yang mama letak kat dapur. Air pun ada kat situ. Along jangan main api, jaga keselamatan rumah. Ingat pesan mama"

"Ok, along ingat pesan mama"

"Pandai anak mama. Bye, sayang" ujarku sambil mencium pipi ke dua-dua anakku.

"Ya Allah"

"Kenapa mama?"

"Papa kunci kita dalam rumah sayang"

'Bintang' getus hatiku. Sudah tentu Hairi pulang ke rumah lewat malam tadi dan mengunci aku anak beranak di dalam rumah. Sungguh sadis Hairi menjadi seorang manusia, tergamak dia melakukan sedemikian terhadapku. Hairi benar-benar bertingkah seperti ingin membunuh aku. Aku tahu dia mahu menggertak aku supaya aku takut dan tunduk kepadanya. Mujur aku ada kunci pendua untuk pintu dapur rumahku yang turut sama dikunci oleh Hairi.

Di hospital, kondisiku amat dibimbangi oleh doktor. Maka, aku dimasukkan ke wad untuk rawatan selajutnya. Jika tidak, keselamatan kandunganku akan terjejas dan aku mungkin akan mengalami keguguran. Hatiku tidak keruan memikirkan anak-anakku dirumah. Aku sudah berjanji dengan mereka untuk pulang secepat yang mungkin. Namun, dalam situasi ini aku benar-benar tersepit di tengah-tengah. Kebimbangan dan kegusaran yang bergejolak di hatiku sudah tidak terbendung lagi. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk meminta bantuan sepupuku, Pian untuk mengambil anak-anakku di rumah dan menjaga mereka buat sementara waktu. Aku tahu bahawa Pian amat sibuk, memandangkan jam segini dia seharusnya berada dipejabat. Begitu juga dengan isterinya. Namun, aku terpaksa berbuat demikian. Ternyata, Pian tidak keberatan untuk menolongku. Tambahan lagi, isterinya telah membuat keputusan mengambil cuti untuk menjaga anak-anak mereka dan anak-anakku apabila mengetahui keadaan aku sedang sakit. Hatiku kembali tenang

* * *

Astagfirullahalazim….
Aku benar-benar terkejut melihat keadaan rumahku yang bersepah-sepah. Selama 3 hari aku berada di wad. Tidak pernah sesaat pun Hairi datang menjengukku, semua itu sudah menjadi rempah ratus dalam hidup ku. Aku sudah tidak peduli lagi. Sekali lagi jantungku semacam hendak gugur pabila melihat kamarku.

'Ya Allah, apakah yang dilakukan oleh suamiku semasa ketiadaanku di rumah?'

Mengucap panjang aku apabila mendapati dinding-dinding kamarku dipenuhi dengan cap-cap bibir berwarna merah. Aku tahu seorang perempuan telah sengaja meninggalkan kesan lipstiknya di situ. Bukan itu sahaja, kesan itu terdapat di setiap ruang kamarku. Di cadar, di almari, di meja solek, di selimut dan kertas-kertas tisu. Hatiku begitu sakit melihat keadaan rumahku yang sebegitu. Sehingga kesakitan yang ku alami sebelum ini pun tidak dapat menandingi kesakitan yang aku alami kini.

'Ya Allah, berikan aku ketabahan hati'

* * *

Dum.. Dum..
Hairi mengetuk keras daun pintu rumah.

"Hoi, Bukak pintu ni pekak"

Aku hanya mendiamkan diri di dalam rumah. Rasanya, aku sudah tidak boleh memaafkan suamiku yang berselingkuh di belakangku. Lagi-lagi berbuat maksiat di dalam rumah sendiri. Sungguh menjijikan. Pintu yang ku selak dari dalam tidak sama sekali ku buka walau apa cara sekalipun. Di luar, Hairi berteriakkan bagai orang gila. Aku tetap saja tidak mengendahkan tingkahnya itu.

"Kurang ajar kau. Berani kau mengadu hal aku kat semua orang. Kau ni memang tak sedar dek untung. Kalau bukan aku ambil kau jadi bini aku, mesti kau merempat"

Sesungguhnya aku telah mengadukan perihal Hairi kepada ibu dan bapanya. Namun, mereka tidak mempercayai aku. Bahkan mereka menuduh aku mengada-adakan cerita mengenai anak lelaki tunggalnya itu. Sudah tentu mereka menyampaikannya kepada Hairi. Tampaknya, Hairi mengamuk. Aku bimbang hal yang sama berulang kembali. Oleh sebab itu, aku tidak membenarkan dia masuk ke rumah.

Aku tidak henti-henti menangis. Ibu bapa Hairi sejak dari dulu memang tidak suka akan aku. Mereka sering mencari salahku saja. Aku sedar bahawa aku yang dulunya bukanlah seorang perempuan yang baik. Aku berkahwin dengan Hairi adalah kerana terpaksa sebab aku mengandungkan anak luar nikah bersamanya. Namun, itu adalah kesilapan dan kekhilafanku masa lalu. Mengapa aku harus di hukum berterusan sebergini? Mungkin ini adalah harga yang perlu aku bayar untuk segala cerita dan kisah masa laluku itu. Aku redha.

Setengah jam berlalu, Hairi tetap saja berang dan berteriakan di luar rumah bagai orang gila. Aku tahu Hairi sedang dibawah pengaruh alkohol. Aku amat takut jika dia bertindak di luar norma.

"Hoi, kalau kau tak buka pintu ni dalam masa 3 saat. Aku akan ceraikan kau. 1…2…3… Nuralis, aku Hairi Dzaman dengan ini menceraikan kau dengan talak 1"

Berderau darah aku pabila mendengar kata-kata Hairi. Kini, aku sudah menjadi janda. Tidak tahukah Hairi hukum menceraikan isteri yang sedang sarat mengandung? Oh, aku lupa!. Hairi memang seorang yang cetek ilmu agama. Aku pasrah.
Memandangkan waktu kelahiran bayiku semakin hampir. Aku mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah orang tua ku di Batu Pahat. Aku lebih tenang tinggal bersama mereka kerana mereka boleh membantuku menjaga anak-anakku semasa aku berada dalam proses bersalin di hospital nanti. Walupun aku tidak sampai hati untuk membebani mereka dengan masalah ini. Aku terpaksa, aku sudah tiada jalan keluar yang pasti di saat aku tidak berdaya ini. Namun, aku berjanji kepada diriku untuk membina hidup baharu setelah segalanya berakhir.
Selepas 3 bulan aku berpisah dengan Hairi, dia kembali menemuiku dan menyatakan hasrat untuk bersama semula setelah dia dipermain-mainkan dan semua hartanya dikikis oleh perempuan itu. Namun, aku walau sedikitpun tidak akan pernah memaafkan kesalahannya. Bagiku, sejarah bersama Hairi umpama Monumen sejarah hitam dalam tugu hatiku. Bagaikan jari, lukanya senang diubati. Namun, hilangnya tiada ganti.

Kini, aku sedar.
"Selama ini cinta dan kasihmu terhadapku hanya sekilas cuma" ujarku kepada Hairi. Dia hanya tertunduk membisu dan aku berpaling darinya.

©Hakcipta Terpelihara

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi bertandang ke Blog Cik Bie. Senang-senang nanti datang lagi ya? Love u'olss. Muahhx