Follow Us @soratemplates

Monday, 29 December 2008

Friday, 19 December 2008

SEKILAS KASIHMU

18:08:00 0 Comments
SEKILAS KASIH

Oleh Nabiha Mohd Mashut

Tunas Cipta Disember 2008

Sarat aku memikul beban yang maha berat ini. Dalam keadaan aku yang berbadan dua tidak mungkin aku mampu melawan perasaan sakit yang hanya bisa terpendam di hati. Ingin sekali aku luahkan biar semua orang tahu, mengerti dan rasai. Namun, tidak semua yang akan menoleh kepadaku untuk berkongsi masalah ini bersama-sama aku yang benar-benar mengharapkan simpati. Aku tekad meneruskan hidup ini walau berjuta halangan dan cabaran yang menerjang di hadapan aku.

"Awak ini dah kenapa Lis?"

Aku hanya mendiamkan diri. Malam itu benar-benar menggugat kesabaranku. Aku sudah tidak terdaya untuk terus-terusan bertikam lidah dengan Hairi, suamiku. Perilakunya yang acap kali menjengkelkan hatiku sudah tidak lagi dapat digambarkan dengan kata-kata. Sungguh tegarnya hatiku melawan takdir ini selama 8 tahun lamanya.

"Lis, awak dah pekak ke? Kenapa kalau saya cakap awak tak pernah nak ambil perhatian? Dah, pergi buatkan saya mi goreng dengan air teh"

Tampaknya Hairi mulai berang apabila aku tidak memperdulikan kata-katanya. Arahannya kepadaku aku tolak ke tepi. Bukan maksudku untuk menderhaka kepada suami yang sepatutnya dilayani umpama raja. Namun, aku tidak terdaya untuk bangun ke dapur apatah lagi untuk memasak makanan permintaannya itu. Tambahan lagi, lauk-pauk yang ku masak tengah hari tadi masih ada lagi dan telah pun di panaskan oleh aku selepas solat Maghrib tadi. Dalam situasi ini, kami anak beranak sepatutnya berjimat cermat bukan berboros seperti ini.

Hairi menjegilkan biji matanya kepada aku. Aku hanya tertunduk bisu tanpa sebarang kata yang terhambur keluar daripada mulutku. Hairi seolah-olah membutakan matanya sendiri, bukan dia tidak lihat keadaanku yang begitu lemah dan lesu. Aku duduk tersandar di dinding sambil melunjurkan kakiku. Bau minyak kayu putih memenuhi segenap ruang di ruang tamu rumah. Kusapu minyak itu ke kaki ku yang lenguh daripada pagi tadi. Sehari dua ini, badanku sering sakit-sakit. Kadang-kala aku mengeluh keseorangan, aku tahu tiada siapa yang dapat meringankan bebanku kini selain diriku sendiri.
Melihat keadaanku itu, mungkin perasaan belas terkesan di hati Hairi.

"Kesian awak. Baiklah, malam ini saya makan di luar. Saya tak mahu susah-susahkan awak" ujar Hairi dengan nada berlembut.
Namun, aku tahu sandiwara Hairi yang cuma sementara itu. Aku tidak akan pernah tertipu dengan lakonan tipu dayanya yang sering diperankan olehnya selama ini. Tidak sama sekali aku terpedaya.

"Tapi, kalau saya nak makan kat luar mesti ada duit. Awak ada duitkan, berikan saya sepuluh ringgit"


Sudah aku katakan, tingkahnya yang abnormal sebentar tadi sudah tentu-tentu melindungi maksud sebenar nawaitunya itu. Hatiku kini sudah berlubang dipanah kata- kata berduri Hairi, walaupun ia tampak baik dan lembut tetapi amat berbahaya. Hatiku amat sakit menahan tusukan itu.

"Saya tak ada duit" ujarku buat pertama kali selepas tidak bertegur dengan Hairi selama 3 hari. Tanpa menoleh ke wajah Hairi, aku terus mengurut-ngurut kakiku.Kata-kataku itu ternyata menimbulkan kemarahan di hati Hairi.

"Apa awak cakap? Tak ada duit? Habis tu duit belanja yang saya kasi minggu lepas awak buat apa aja. Hah? Awak ni betul betul menggugat kesabaran saya. Ini dah melampau.
Hatiku sudah tidak mahu berkompromi. Gunung kesabaranku hampir meledakkan letusan dan menghamburkan lahar merah yang maha panas. Lantas, aku bangun lalu mencekak pinggang.

"Siapa yang dah melampau? Awak ataupun saya? Awak ingat duit lima puluh ringgit yang awak bagi tu cukup untuk menampung belanja makan saya 3 beranak. Nak kasi awak makan pun tak cukup tau tak?"

Ya Allah! Sesungguhnya kau maha mengetahui. Istigfar ku dalam hati.

"Heh! Itu pun untung saya nak beri, tahu!? Kalau ikutkan hati saya, biar awak 3 beranak mati kelaparan. Lagipun, buat apa saya nak kasi awak duit banyak-banyak. Entah-entah anak dalam kandungan awak tu pun anak saya"

"Hah, baguslah kalau awak pikir macam tu. Lagipun awak memang tak pernah tahu hukum tak beri nafkah pada keluarga dan hukum menafikan anak dalam kandungan. Awak memang cetek agama. Jadi, tak guna kalau saya cakap banyak dengan awak. Memang dari dulu pun kalau saya hanya mengharapkan gaji awak seorang untuk hidup kat dunia ni. Memang saya dan anak-anak dah lama mati. Nasib baik Pian nak hantar anak-anak dia ke sini untuk saya jaga. Dengan keadaan saya yang dah sarat dan tak larat nak bekerja ni, awak buat tak tahu saja. Makin awak pulak nak saya tanggung makan minum awak? Awak ingat awak tu siapa?"

"Lis, saya ini suami awak tau tak! Sekarang, kasi saya duit. Mustahil kalau awak cakap dengan saya awak tak ada duit. Apa Pian tu tak bayar gaji awak ke?"

"Hairi! Kalau jadi suami pada kata nama saja tapi tak tahu tanggungjawab seorang suami, baik tak payah. Kalau saya cakap saya tak ada duit, saya tak ada duit lah. Takkan itu pun saya nak kena ulang berpuluh kali. Lagipun, duit gaji tu saya kumpul untuk masa nak bersalin nanti. Kalau nak harapkan awak, awak langsung tak pernah ambil peduli. Dah, awak tak payah cakap banyak. Itu duit saya, awak tak berhak makan duit saya. Saya haramkan awak ambil duit saya walau sesen sekalipun. Ingat tu!"

Aku benar-benar marah kepada Hairi. Kesakitan yang ku alami tadi seolah-olah hilang begitu saja sewaktu aku bertelagah dengan Hairi. Sungguh tega dia menafikan bayi yang berada di dalam kandunganku ini bukan anaknya. Suara kami suami isteri bertengkar amat nyaring sekali pada ketika itu. Mungkin jiran-jiran sudah tidak terkejut lagi dengan fenomena sedemikian rupa kerana ianya sudah terlalu kerap berulang buat suatu tempoh yang cukup lama. Merah padam mukaku menahan getaran nafas berombak kencang yang dipetik kemarahanku terhadap Hairi.
Dengan tidak semena-mena, Hairi segera meluru ke pintu keluar selepas menolakku. Aku hilang keseimbangan dan jatuh terduduk. Hairi dengan pantas menghidupkan enjin motornya dan pergi entah ke mana. Aku menahan kesakitan. Terasa perutku seperti dicucuk-cucuk dengan jarum. Malam sudah larut, ku lihat jam di dinding menunjukkan jam 12.30 malam. Kepada siapa aku harus meminta bantuan? Aku terbaring lemah kerana terlalu banyak darah yang keluar.

'Ya Allah, hanya kepadamu aku memohon. Selamatkanlah bayi di dalam kandunganku ini'

Hanya itulah doa yang ku panjatkan ke hadrat ilahi sehingga aku tersedar pada keesokkan harinya. Aku tidak pasti sama ada aku tertidur ataupun pengsan, yang pastinya aku tetap berada di tempat yang sama seperti malam itu. Ternyata, semalaman aku berada disitu tanpa bantuan sesiapa. Allahuakbar!

Kesakitanku agak mendingan, perlahan-lahan aku bangun dan membersihkan diri. Lantai yang kotor dengan darahku di bersihkan oleh anak-anaku yang kasihan dengan nasib mamanya. Aku terharu, mereka masih terlalu kecil untuk mengerti dan memahami semua ini. Apakan daya, takdir sudah menentukan bahawa mereka terpaksa berhadapan dengan situasi seperti ini walau apa cara sekalipun.

"Along Aiman, along tolong mama jaga adik Aidil kat rumah ya. Mama nak ke hospital. Mama sakit perut"

"Mama sakit perut? Kesian mama sakit perut sampai berdarah. Takut along tengok, darah mama banyak sangat. Mama pergi jangan lama-lama tau. Along takut tinggal kat rumah"

"Ya, mama pergi tak lama. Sekejap je. Along jaga adik tau. Kalau along dengan adik lapar, makan roti yang mama letak kat dapur. Air pun ada kat situ. Along jangan main api, jaga keselamatan rumah. Ingat pesan mama"

"Ok, along ingat pesan mama"

"Pandai anak mama. Bye, sayang" ujarku sambil mencium pipi ke dua-dua anakku.

"Ya Allah"

"Kenapa mama?"

"Papa kunci kita dalam rumah sayang"

'Bintang' getus hatiku. Sudah tentu Hairi pulang ke rumah lewat malam tadi dan mengunci aku anak beranak di dalam rumah. Sungguh sadis Hairi menjadi seorang manusia, tergamak dia melakukan sedemikian terhadapku. Hairi benar-benar bertingkah seperti ingin membunuh aku. Aku tahu dia mahu menggertak aku supaya aku takut dan tunduk kepadanya. Mujur aku ada kunci pendua untuk pintu dapur rumahku yang turut sama dikunci oleh Hairi.

Di hospital, kondisiku amat dibimbangi oleh doktor. Maka, aku dimasukkan ke wad untuk rawatan selajutnya. Jika tidak, keselamatan kandunganku akan terjejas dan aku mungkin akan mengalami keguguran. Hatiku tidak keruan memikirkan anak-anakku dirumah. Aku sudah berjanji dengan mereka untuk pulang secepat yang mungkin. Namun, dalam situasi ini aku benar-benar tersepit di tengah-tengah. Kebimbangan dan kegusaran yang bergejolak di hatiku sudah tidak terbendung lagi. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk meminta bantuan sepupuku, Pian untuk mengambil anak-anakku di rumah dan menjaga mereka buat sementara waktu. Aku tahu bahawa Pian amat sibuk, memandangkan jam segini dia seharusnya berada dipejabat. Begitu juga dengan isterinya. Namun, aku terpaksa berbuat demikian. Ternyata, Pian tidak keberatan untuk menolongku. Tambahan lagi, isterinya telah membuat keputusan mengambil cuti untuk menjaga anak-anak mereka dan anak-anakku apabila mengetahui keadaan aku sedang sakit. Hatiku kembali tenang

* * *

Astagfirullahalazim….
Aku benar-benar terkejut melihat keadaan rumahku yang bersepah-sepah. Selama 3 hari aku berada di wad. Tidak pernah sesaat pun Hairi datang menjengukku, semua itu sudah menjadi rempah ratus dalam hidup ku. Aku sudah tidak peduli lagi. Sekali lagi jantungku semacam hendak gugur pabila melihat kamarku.

'Ya Allah, apakah yang dilakukan oleh suamiku semasa ketiadaanku di rumah?'

Mengucap panjang aku apabila mendapati dinding-dinding kamarku dipenuhi dengan cap-cap bibir berwarna merah. Aku tahu seorang perempuan telah sengaja meninggalkan kesan lipstiknya di situ. Bukan itu sahaja, kesan itu terdapat di setiap ruang kamarku. Di cadar, di almari, di meja solek, di selimut dan kertas-kertas tisu. Hatiku begitu sakit melihat keadaan rumahku yang sebegitu. Sehingga kesakitan yang ku alami sebelum ini pun tidak dapat menandingi kesakitan yang aku alami kini.

'Ya Allah, berikan aku ketabahan hati'

* * *

Dum.. Dum..
Hairi mengetuk keras daun pintu rumah.

"Hoi, Bukak pintu ni pekak"

Aku hanya mendiamkan diri di dalam rumah. Rasanya, aku sudah tidak boleh memaafkan suamiku yang berselingkuh di belakangku. Lagi-lagi berbuat maksiat di dalam rumah sendiri. Sungguh menjijikan. Pintu yang ku selak dari dalam tidak sama sekali ku buka walau apa cara sekalipun. Di luar, Hairi berteriakkan bagai orang gila. Aku tetap saja tidak mengendahkan tingkahnya itu.

"Kurang ajar kau. Berani kau mengadu hal aku kat semua orang. Kau ni memang tak sedar dek untung. Kalau bukan aku ambil kau jadi bini aku, mesti kau merempat"

Sesungguhnya aku telah mengadukan perihal Hairi kepada ibu dan bapanya. Namun, mereka tidak mempercayai aku. Bahkan mereka menuduh aku mengada-adakan cerita mengenai anak lelaki tunggalnya itu. Sudah tentu mereka menyampaikannya kepada Hairi. Tampaknya, Hairi mengamuk. Aku bimbang hal yang sama berulang kembali. Oleh sebab itu, aku tidak membenarkan dia masuk ke rumah.

Aku tidak henti-henti menangis. Ibu bapa Hairi sejak dari dulu memang tidak suka akan aku. Mereka sering mencari salahku saja. Aku sedar bahawa aku yang dulunya bukanlah seorang perempuan yang baik. Aku berkahwin dengan Hairi adalah kerana terpaksa sebab aku mengandungkan anak luar nikah bersamanya. Namun, itu adalah kesilapan dan kekhilafanku masa lalu. Mengapa aku harus di hukum berterusan sebergini? Mungkin ini adalah harga yang perlu aku bayar untuk segala cerita dan kisah masa laluku itu. Aku redha.

Setengah jam berlalu, Hairi tetap saja berang dan berteriakan di luar rumah bagai orang gila. Aku tahu Hairi sedang dibawah pengaruh alkohol. Aku amat takut jika dia bertindak di luar norma.

"Hoi, kalau kau tak buka pintu ni dalam masa 3 saat. Aku akan ceraikan kau. 1…2…3… Nuralis, aku Hairi Dzaman dengan ini menceraikan kau dengan talak 1"

Berderau darah aku pabila mendengar kata-kata Hairi. Kini, aku sudah menjadi janda. Tidak tahukah Hairi hukum menceraikan isteri yang sedang sarat mengandung? Oh, aku lupa!. Hairi memang seorang yang cetek ilmu agama. Aku pasrah.
Memandangkan waktu kelahiran bayiku semakin hampir. Aku mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah orang tua ku di Batu Pahat. Aku lebih tenang tinggal bersama mereka kerana mereka boleh membantuku menjaga anak-anakku semasa aku berada dalam proses bersalin di hospital nanti. Walupun aku tidak sampai hati untuk membebani mereka dengan masalah ini. Aku terpaksa, aku sudah tiada jalan keluar yang pasti di saat aku tidak berdaya ini. Namun, aku berjanji kepada diriku untuk membina hidup baharu setelah segalanya berakhir.
Selepas 3 bulan aku berpisah dengan Hairi, dia kembali menemuiku dan menyatakan hasrat untuk bersama semula setelah dia dipermain-mainkan dan semua hartanya dikikis oleh perempuan itu. Namun, aku walau sedikitpun tidak akan pernah memaafkan kesalahannya. Bagiku, sejarah bersama Hairi umpama Monumen sejarah hitam dalam tugu hatiku. Bagaikan jari, lukanya senang diubati. Namun, hilangnya tiada ganti.

Kini, aku sedar.
"Selama ini cinta dan kasihmu terhadapku hanya sekilas cuma" ujarku kepada Hairi. Dia hanya tertunduk membisu dan aku berpaling darinya.

©Hakcipta Terpelihara

GESEKAN KEMATIAN

17:51:00 0 Comments

GESEKAN KEMATIAN

Oleh : Nabiha Mohd Mashut
Dewan Siswa Disember 2008


Gesekan biola yang merdu kedengaran dari jendela rumah tumpangan itu

membuai-buai lena Yuanda. Siapakah gerangan yang mengesek biola itu sehingga ia

kedengaran sangat mengasyikkan? Yuanda terus berteka di dalam fikirannya. Tanpa

berfikir panjang, dia menyambung tidurnya semula. Terasa damai dan tenang hati dan

perasaannya di lambung ombak irama yang lembut, umpama di dodoi oleh ibu yang

sudah lama pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Air mata Yuanda turut mengalir, dia

terjaga dan tidak bisa tidur lagi. Namun, bunyi gerekan biola yang lunak di halwa

telinganya itu tetap saja berkumandang mengiringi angin malam dan tirai kegelapan yang

sedang dilabuhkan.

"Yuan, mengapa kau belum tidur-tidur lagi? Malam sudah melarut gelap. Bulan

juga sudah tidak kelihatan. Sudah tiba masanya untuk kau pejamkan mata dan

tidur"

"Entahlah Pan. Tadi, aku sudah tidur. Tiba-tiba saja tidurku terganggu dengan

bunyi biola dari rumah tumpangan Dswa. Iramanya sungguh merdu sehingga aku

terkenangkan ibuku. Aku sedih Pan"

"Aku faham. Ibumu itu dahulunya serikandi biola yang tiada tandingannya.

Gesekannya yang bersahaja tetapi bertenaga isu mampu memukau pendengaran

dan membunuh semua orang. Kau juga tidak kurang hebatnya bukan?"

"Itu aku tahu, tapi……."

"Sudahlah, esok kita ada pertandingan besar. Aku tahu ini adalah impian kau dan

impian kita semua. Barangkali bunyi gesekan biola yang kau dengar itu adalah

daripada salah satu peserta yang akan mengikuti pertandingan itu. Tidurlah.."

Yuanda bersama Pandji telah berbaris selama lima hari empat malam di pintu

masuk pertama istana Kezia yang merupakan pusat pentadbiran Kerajaan Kezia selama

beratus-ratus tahun dahulu. Niat utama mereka hanyalah untuk mendaftarkan nama

kumpulan muzik mereka untuk pertandingan yang berprestij itu.

"Pan, apa yang harus kita lakukan? Sudah lima hari kita berada disini. Ini adalah

hari terakhir untuk kita mendaftar. Berpeluangkah kita? Tampaknya, barisan masih

lagi panjang. Ramai benar yang ingin mengikuti pertandingan ini. Aku khuatir jika

kita tidak berpeluang"

"Ish, jangan cakap begitu. Sudah sekian lama kita tunggu akan saat ini. Ini adalah

amanat ibu bapa kita yang sudah meninggal dunia. Kita bertanggungkawab

melaksanakannya. Kau mahu menjadi anak derhaka yang ingkar perintah ibu bapa?"

"Sudah tentu tidak, aku tahu ini merupakan sebahagian daripada impian ibu bapa

kita yang dahulunya mantan pemuzik istana yang terhormat suatu masa dahulu.

Aku juga mahu jadi seperti mereka. Tapi…."

"Tapi apa lagi Yuan? Kita sudah cukup lama bersedia. Takkan kau mahu

melepaskan peluang ini begitu saja? Aku juga tidak akan membenarkan darah

muzik dan irama saksofon yang mengalir dalam badanku ini terarah sehala saja

tanpa sebarang tujuan yang pasti"

"Aku mengerti. Apa yang aku bimbangkan adalah seteru. Seteru yang bakal kita

hadapi setelah menyertai pertandingan ini. sungguh tidak dapat aku bayangkan,

bagaimana keadaan yang akan kita lalui nanti? Adakah sama peritanya seperti

pengalaman ibu-ibu dan bapa-bapa kita dahulu?"

"Jangan bimbang, seteru itu ada dimana-mana" suatu suara mencelah. Yuan dan

Pandji terpinga-pinga.

Tanpa Yuan dan Pandji sedari mereka sudah tiba di meja besar pendaftaran.

"Sudah terlambat Yuan untuk memikirkan hal itu"

Pandji segera menyerahkan sampul surat kumal berwarna kuning kecoklatan itu kepada

pegawai istana. Di dalamnya terdapat butir-butir diri setiap ahli kumpulan muzik yang

menyertai pertandingan itu. Segalanya telah lengkap dan selesai. Namun, hati Yuanda

yang masih berbolak-balik.

"Yuan, apa yang aku tahu. Kau seharusnya menjadi pewaris generasi serikandi

biola yang disandang oleh ibu mu. Buatlah yang terbaik demi impian kita"

Pertandingan yang dianjurkan oleh Kerajaan Kezia mendapat sambutan yang

amat memberangsangkan daripada kumpulan-kumpulan pemuzik dari seluruh pelosok

dunia. Sungguh tidak di sangka-sangka, pertandingan tradisi Negara Kezia yang diadakan

setiap 50 tahun sekali ini merupakan suatu pertandingan yang menjadi idaman dan impan

semua pejuang muzik di seluruh dunia. Kemenangan mereka merupakan satu kejayaan

besar dalam kehidupan mereka kerana itulah satu-satunya peluang mereka untuk

menyandang darjat ketinggian yang setaraf dengan pegawai istana Kezia tanpa sebarang

kelayakan atau tahap pendidikan tertinggi.

Jooli berlari tercungap-cungap. Berlutut dia dihadapan Yuan dan rakan-rakan

yang sedang berborak sambil makan-makan.

"Eh, kenapa ni Jo?" Tanya Karlon

Jooli tidak berkata. Berombak-ombak dadanya mengatur nafas yang tidak menentu.

"Tenang Jo. Jangan terburu-buru. Kar, ambilkan Jo air"

"Terima kasih" Jooli kembali bersuara setelah beberapa minit. Sekalian yang

berada di situ ternanti-nanti perkara yang telah membuatkan Jooli seperti itu.

"Rakan-rakan, suatu berita buruk"

"Hah?"

"Kamu semua jangan terkejut pula. Ini adalah hakikatnya"

"Apa Jo? Jangan cakap pada aku yang kumpulan kita telah tersingkir daripada

menyertai pertandingan muzik itu"

"Bukan, bahkan lebih teruk daripada itu. Tadi, aku keluar membeli roti untuk

kalian. Tiba-tiba saja pekedai roti itu mengomel menbicarakan tentang

pertandingan ini. Sekarang, seramai 50 buah kumpulan yang telah bertanding mati

secara mengejut. Punca kematiannya adalah keradangan otak yang menyebabkan

otak mati dan tidak dapat berfungsi. Buat masa ini, tiada siapa pun yang dapat

terselamat"

"Persis bagai jangkaanku. Aku sudah mengagak perkara seperti ini sudah tentu

bakal terjadi juga. Salah kita juga kerana tidak mengambil tahu hal semasa kerana

sibuk berlatih selama 3 hari ini"

"Yuan, aku takut. Apakah yang harus kita lakukan untuk menepis ancaman musuh ini"

"Jangan takut, giliran kita masih lama lagi. Masih ada 506 kumpulan yang masih

tersisa dan belum bertanding"

"Adakah kita mampu bertahan? Aku takut mereka akan cabut lari. Apakah kita

juga perlu mengundur diri"

"Tidak, jangan cepat mengaku kalah. Ini adalah suatu permainan yang ingin

melunturkan semangat kita dan mendapat kemenangan dengan cara yang kotor dan

jijik ini. Jangan mudah terpedaya"

"Ya benar, kita mesti mencari tahu siapakah menjadi dalang di sebalik semua ini

sebelum membuat persembahan. Segera!"

Malam itu Yuanda bersama rakan-rakan menghadiri persembahan daripada

kumpulan Muzik yang bertanding pada malam itu sebagai penonton. Tujuannya adalah

mencari tahu jawapan kepada persoalan-persoalan yang masih meruntun tanda tanya

yang amat besar sekali.

"Kau ada tercium bau sesuatu tak? Aneh"

"Bau setanggi kali" tukas Karlo

"Tak, wangi semacam. Macam bau minyak wangi Yuan" Pandji tertawa dan

Yuanda mula menjeling.

"Ibu!" Yuan berteriak lalu berlari mendapatkan seorang wanita yang berpakaian

serba hitam dan berkerudung merah yang bergerak keluar dari dewan pertandingan itu.

Rakan-rakan yang lain mulai cemas, Yuanda seperti terasuk dan langsung tidak

mengendahkan panggilan rakan-rakannya.

Argh…….

Terdengar teriakan dari dalam dewan. Tepat sekali, sekalian peserta pada malam itu

telah menemukan ajal mereka dan wanita berkerudung merah itu lenyap dalam bayangan

malam yang kian hitam memekat. Yuanda terduduk menangis, ternyata dia dapatn

merasakan dirinya seolah-olah dipukau dengan bayangan wanita yang mempunyai wajah

yang serupa dengan ibunya. Namun, tidak mungkin itu adalah Yuhana, ibunya yang telah

meninggal dunia 20 tahun yang lalu. Yuanda bertekad untuk tidak akan pernah lagi

tertipu dengan permainan keji orang-orang yang hina itu. Mereka sudah dapat mengagak

bahawa ini semua ada kaitan dengan Persatuan Mawar Berduri yang dahulunya

bermusuhan dengan Persatuan Anggerik Rimba, kumpulan muzik yang ditubuhkan oleh

ibu bapa Yuanda, Pandji dan rakan-rakan yang lain pada sezaman mereka.

"Yuan, kau tidak salah. Sudah tentu wanita berkerudung merah yang kau lihat

sebentar tadi adalah Mak Cik Yunella, kembar ibumu"

"Ya, baru aku ingat. Satu-satunya orang yang mirip dan memusuhi ibuku adalah

Mak Cik Nella. Pelopor Persatuan Mawar Berduri yang gagal memenangi pertandingan

Muzik Istana Kezia 50 tahun dahulu"

"Mungkin, gesekan biola merdu yang kau dengar di Rumah Tumpangan Dswa

adalah gesekan biola Mak Cik Nella. Tidak mustahil jika kau teringatkan ibumu

sewaktu terdengar bunyi itu Yuan. Ternyata seruan maut untukmu"

"Aku tahu, sudah tentu Mak Cik Nella mahu meneruskan persaingan antaranya

dan ibuku. Namun, yang tinggal kini adalah aku. Tampaknya, aku harus meneruskan

perjuangan ini"

"Benar bagai di kata wahai keponakan yang aku sayangi. Sudah tiba masanya

untuk aku membalas dendam yang telah lama terbuku dalam hati aku. Sekarang,

terimalah pembalasan dariku" tukas Serikandi Yunella, pendendam setia Serikandi

Istana Yuhana. Yuhana yang pernah menjadi sanjungan seisi kerabat Diraja Kezia kerana

kehebatannya menggesek Biola dan bertarung dengan musuh bersama-sama biola sakti

telah menjadi musuh Yunella. Namun, Yunella telah tewas dalam pertandingan Muzik

Istana kerana sifat kejam dan sadisnya dia terhadap penduduk-penduduk Negara Kezia

Berlakulah pertempuran antara Yuanda dan Mak Ciknya amat membenci Yuanda

sejak dia lahir ke dunia sejak dahulu lagi. Sungguh Yuanda tidak menyangka bahawa

Mak Ciknya itu masih menyimpan dendam terhadap ibunya sehingga tergamak

membunuh anak saudaranya sendiri.

"Mak Cik, janganlah kita bermusuhan dan berbunuh-bunuhan. Ini tidak

membawa apa-apa makna Mak Cik. Malahan hubungan persaudaraan antara kita akan

turut musnah"

"Sudah! Usah kau khabarkan kepada aku tentang hubungan persaudaraan antara

kita. Sememangnya ia tidak pernah ada sejak dahulu lagi. Aku benci ibumu, aku

benci kau….." sewaktu itu Nella sudah bersedia menggesek biola mautnya. Itu

adalah alamat yang tidak baik, Yuanda dalam bahaya. Tanah dan pasir mula menyatu

bersama irama gesekan biola maut. Suaranya cukup nyaring dan Yuanda secara tiba-tiba

terbang ke udara dan terhempas ke bumi beberapa kali.

"Ah..sakit" raung Yuanda sambil mengesat mulutnya yang mengeluarkan darah

berlambak-lambak.

"Ha.. Ha.. Puas hati aku, puas…" tanpa rasa simpati terhadap Yuanda, Nella terus

menggesek biola maut sehingga keluar suatu cahaya daripadanya. Cahaya yang terang

dan membara cerlang itu seperti menggumpal dan menjadi bebola api yang besar.

Dengan pantas ia meluru ke arah Yuanda.Tanpa berfikir panjang Pandji meyelamatkan

Yuanda dengan angin saksafonnya. Akhirnya, aura angin dan air dapat memadamkan

bebola api yang marak dan membahang itu.

"Cis! Tak guna"

Bersama seberkas kekuatan dan tenaga yang masih tersisa. Yuanda mencapai Biola

Ratnapuri yang sentiasa berada di sisinya dan bersedia menentang Nella. Pandji yang

tadinya membantu Yuanda sudah terbaring lemah menghadapi serangan Nella. Ternyata

Nella begitu marah apabila Pandji campur tangan dalam pertarungan itu.

"Mak Cik, ini adalah urusan antara kita berdua. Jangan sesekali melibatktan

rakan-rakan saya"

"Nampaknya kamu sudah mula melawan. Bagus! Aku sudah tidak sabar-sabar

untuk membunuhmu. Ayuh !"

Ini adalah pertarungan pertama Yuanda. Memang sedari dulu, Yuanda tidak

pernah menjangka bahawa dia akan mempunyai musuh yang kepingin sekali memisahkan

nyawa dari jasadnya. Yuanda dengan tenang mengingati segala jurus-jurus melawan

musuh yang diajarkan oleh ibunya. Akhirnya, Yuanda membuat keputusan untuk

menggunakan Jurus Litupan Bulan, sejenis jurus yang hanya memerlukan 3 gesekan biola

untuk membunuh musuh. Yuanda membuat gesekkan pertamanya. Nella mulai lemah dan

cuba untuk membalas perbuatan Yuanda. Tenaga Nella seperti di serap dan dirinya juga

tidak berdaya untuk membuat gesekkan walaupun sedaya mungkin. Anggotanya seperti

lumpuh. Yuanda memerhatikan saja kehebatan Jurus Litupan Bulan yang sangat berkesan

itu.

"Tak guna. Berani-beraninya engkau mengenakan Jurus Litupan Bulan kepada

aku. Namun, ilmumu masih cetek" ternyata Nella masih hebat. Dia berjaya menyerap

semula tenaga yang keluar daripada badannya dan menyambung kembali serangannya

terhadap Yuanda. Getir Yuanda menepis amukan Nella. Lantas, mengambil keputusan

membuat gesekan Jurus Litupan Bulan yang ke-2. Yuanda dengan yakin mengumpul

kekuatan sebanyak mungkin kerana gesekan ke-2 ini memerlukan tenaga yang lebih

banyak untuk melemahkan sistem badan musuh. Nella sudah terperangkap dan tidak

mampu berbuat apa-apa lagi. Maka, dia telah tewas di tangan Yuanda. Dengan usianya

yang telah lanjut, Nella tidak mampu mengumpulkan kekuatan yang setara dengan

Yuanda.

"Ha..Ha.. nampaknya kau lebih hebat daripada ibumu. Untuk membuktikan

kehebatan itu, bunuh aku sekarang dengan gesekan terakhirmu"

"Dengan membunuh mak cik, aku akan lebih hebat daripada ibu?"

"Ya, ibumu tidak hebat seperti engkau. Dia tidak mahu membunuhku walaupun

peluang itu sentiasa ada. Keadaannya seperti sekarang ini, dia sepatutnya

membunuh aku. Namun, dia sering membiarkan aku dan berlalu pergi begitu saja

selepas kami bertarung. Aku sebal, maruahku seperti diinjak-injak olehnya. Dia

merendah-rendahkan aku. Dia pengecut sebenarnya. Pengecut"

"Jika ibu ku pengecut. Aku pula tidak begitu, aku akan segera membunuhmu

dengan gesekan terakhir yang akan mematikan sistem badanmu dengan serta-merta.

Kau akan temui ajalmu hari ini"

"Lakukan jika kau benar-benar bukan seorang pengecut"

"Baiklah"

Airmata Yuanda turut mengalir semasa membuat gesekan itu. Hatinya sebak dan

memainkan irama Lagu Seputih Salju sehingga ke akhir.

"Ibu sering bilang, saya harus belajar menggesek irama lagu Seputih Salju kerana

inilah lagu pertama yang dipelajari oleh ibu dan mak cik. Kegembiraan,

kebahagiaan, kesedihan, kedukaan dan segala-galanya terkandung dalam irama ini.

Setiap harinya pasti tidak lengkap tanpa irama ini dan sering menangis apabila

menggesek biolanya. Harapan hanya untuk bersama mak cik, menggesek biola

dengan irama lagu kenagan ini. Namun, harapannya tidak pernah kesampaian

sehingga akhir hayatnya. Tidak pernah sedetik pun dia berdendam dengan mak cik yang

membunuh suaminya. Dia hanya mahu adiknya 60 tahun dahulu. Itu sahaja"

"Kau tidak berdendam kepada aku yang telah membunuh ayahmu?"

"Tidak pernah sekali mak cik"

"Kau Hebat"

Nella menguntum senyuman yang sudah bertahun-tahun tidak pernah diberikan kepada sesiapapun


©Hakcipta Terpelihara.