Follow Us @soratemplates

Friday, 6 November 2009

KISAH SI TALAK

Hari ini, kesihatan saya agak terganggu sedikit. Mungkin dalam musim-musim peperiksaan ini, emosi dan fizikal mudah saja terganggu. Tambahan lagi, keadaan cuaca juga tidak elok, setiap petang akan mendung dan hujan pula datang bertamu di malam hari.

Sejak dari pagi, tika baru hendak melelapkan mata akibat pening kepala. Saya tiba-tiba terfikir tentang "Talak". "Talak" bukanlah nama seorang manusia, tetapi "Talak" ini lebih dikenali sebagai penceraian. Dahulu, semasa berada di Darjah Khas (Kelas Agama Johor) saya ada belajar mengenainya. Kini, sudah agak ingat-ingat lupa akan fakta dan maklumat mengenainya. Saya bagai ingin tahu segala mengenainya dengan lebih lanjut, "refresh" kembali.

Bagi saya, "Talak" merupakan suatu kuasa lelaki yang tak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Namun, fenomena ini semakin hari, semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat masa kini. Masalah yang berlaku ini, bukan saja ditimbulkan oleh si suami sahaja. Walau bagaimanapun, si isteri juga boleh dijadikan punca berlakunya masalah ini. Talak bagaikan permainan dan dianggap enteng oleh mereka yang berkenaan. Sungguh sedih.

Terdapat beberapa jenis talak dalam islam, iaitu;


1. Talak Raj'ie

Talak Raj'ie membawa maksud talak yang boleh dirujuk semasa isteri di dalam iddah dengan lafaz-lafaz tertentu, iaitu pasangan tidak dikehendaki melalui majlis pernikahan atau ijab dan kabul. Talak yang dilafazkan oleh suami hanya di kira Raj'ie jika ia merupakan talak yang pertama atau talak yang kedua.


2. Talak Battah

Talak Battah adalah talak yang dilafazkan oleh suami kepada isterinya buat selama-lamanya, umpamanya perkataan suami kepada isterinya,

"Aku ceraikan kau buat selama-lamanya"

Menurut pandangan Imam Syafi'e talak seumpama ini hanya jatuh menurut niatnya, jika suami berniat satu maka talak hanya disabitkan satu, tetapi jika dia berniat tiga maka talak dikira jatuh tiga.


3. Talak Bain

Talak Bain ini terbahagi kepada dua bahagian:

  • Talak Bain Kubra
  • Talak Bain Sughra.

Talak Bain Kubra adalah talak yang telah berlaku kepada pasangan tersebut sebanyak tiga kali. Iaitu suami telah menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Pasangan ini tidak boleh rujuk atau bernikah semula buat selama-lamanya, melainkan isteri tersebut menikahi lelaki lain dan mereka hidup sebagai suami isteri yang sah. Jika ditakdirkan isteri ini berpisah atau suaminya yang kedua itu meninggal dunia, maka barulah suami pertamanya berhak menikahi bekas isterinya ini.

Talak Bain Sughra adalah talak yang telah diucapkan oleh suami kurang daripada tiga kali, tetapi pasangan tidak boleh "Rujuk" kembali melainkan dengan pernikahan yang baru, walaupun isterinya di dalam iddah. Sebahagian dari talak Bain Sughra adalah:

  • Talak yang diputuskan oleh Hakam
  • Talak melalui Khulu'
  • Talak yang difasakhkan oleh Hakim

4. Menjatuhkan Talak Tiga Sekaligus

Di zaman Nabi saw dan Abu Bakar ra, talak yang dijatuhkan tiga dalam satu waktu dihukum hanya jatuh sekali sahaja. Tetapi semasa Sayyidina Umar Ibnu Khattab ra menjadi Khalifah, beliau telah menghukumkan jatuh ketiga-tiga talak sekaligus. Keputusan ini dibuat oleh Sayyidina Umar kerana di zamannya ketika itu masyarakat amat mempermudahkan lafaz talak yang dibuat.

Bila berlaku perkara seumpama ini Hakim Mahkamah akan membicarakan kes pasangan yang terbabit dan memutuskan hukum talaknya.


5. Talak Sunni

Talak Sunni adalah talak yang mengikut sunnah Nabi saw, iaitu seorang suami menceraikan isterinya di saat ia telah suci dari haid dan sebelum mereka bersatu, lalu suami melafazkan talak di hadapan dua orang saksi.


6. Talak Bid'i

Talak Bid'i adalah talak yang diucapkan oleh suami ketika isteri dalam keadaan berikut:

  • Talak diucapkan oleh suami sedang isteri uzur (haid).
  • Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam nifas.
  • Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam keadaan suci tetapi suami telah bersatu dengannya.










**Oh..saya dah dapat sedikit maklumat tentang si "talak" ini..=)

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi bertandang ke Blog Cik Bie. Senang-senang nanti datang lagi ya? Love u'olss. Muahhx